Bolehkah sakit belakang dielakkan?

Sakit belakang yang disebabkan postur badan kurang baik atau lain-lain sebab bukan trauma (kemalangan) biasanya boleh dielakkan dengan kaedah di bawah:
Kerap bersenam untuk meningkatkan keupayaan dan keanjalan otot. Antara senaman yang baik ialah senaman regangan, yoga, tai chi, berenang atau pilates. Lakukan senaman aerobik seperti berjalan, berjoging, berbasikal, bermain badminton atau menari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit setiap sesi.

Tingkatkan kekuatan anda dengan senaman yang membabitkan seluruh badan, terutama otot perut, belakang, paha dan pinggul. Senaman menguatkan otot kaki dan bahu membantu mengurangkan risiko kecederaan ketika mengangkat benda berat.

Buat pergerakan memanaskan badan sebelum bersenam atau bersukan. Ia penting untuk meningkatkan suhu dan pergerakan otot bagi mengelak risiko kecederaan.
Pelajari posisi atau postur badan yang betul ketika melakukan kerja, terutama ketika mengangkat barang. Berhati-hati ketika anda berasakan ketegangan otot supaya ia tidak tercedera.

Elakkan duduk terlalu lama dan buat senaman regangan atau berjalan seketika setiap 30 minit. Apabila duduk, pastikan paha dan lutut pada posisi selesa, selain menggunakan kerusi yang memberi sokongan pada belakang badan.
Amalkan prinsip ergonomik – sama ada di rumah atau tempat kerja boleh mengurangkan risiko kecederaan. Ini termasuklah menggunakan kerusi yang mempunyai penyandar mengikut bentuk semula jadi tulang belakang.

“Tulang belakang kita mempunyai lengkuk seperti bentuk S terbalik dan sebarang aktiviti yang mengubah lengkuk semula jadi ini, jika dilakukan untuk jangka masa lama, boleh menyebabkan ketidakselesaan. Sekiranya berterusan, ia boleh menyebabkan sakit belakang,” kata Dr Siow.
Amalkan pemakanan seimbang untuk mengelakkan masalah berlebihan berat badan, terutama di bahagian pinggang. Ini kerana kegemukan di pinggang akan memberi lebih kesan kepada otot di bahagian berkenaan.
Berhenti merokok. Asap rokok akan mengurangkan aliran darah ke bahagian bawah tulang belakang dan menyebabkan cakera lebih mudah mengalami kemerosotan.
Tidur di atas tilam yang boleh memberi sokongan kepada badan, tidak terlalu keras atau lembik sehingga anda ‘tenggelam’ apabila baring di atasnya. Tidur dalam posisi yang membolehkan anda mengekalkan lengkungan tulang belakang yang normal.

Tilam yang tidak memberi sokongan kepada badan akan mendorong kita untuk tidur dalam posisi kurang baik, membuatkan otot meregang dan tidak membantu penjajaran tulang belakang – semuanya menyumbang kepada masalah sakit belakang.

“Tilam yang baik sepatutnya memberikan sokongan kepada lengkuk semula jadi tulang belakang. Kajian menunjukkan tilam yang separa empuk boleh membantu mengurangkan kesakitan belakang. Jika tilam terlalu keras akan memberi lebih tekanan pada belakang dan ini boleh memburukkan keadaan,” katanya.

Add Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *