Pengenalan

Strategi utama mencegah jatuh di kalangan warga emas adalah melalui promosi gaya hidup sihat supaya mereka akan sentiasa berada pada tahap kesihatan yang baik. Selain itu, langkah-langkah perlu diambil untuk mengurangkan faktor-faktor risiko yang boleh mendorong mereka jatuh.

Kebanyakan kejadian jatuh di kalangan warga emas dikaitkan dengan faktor-faktor risiko yang boleh dikenal pasti dan diubah suai. Juga diketahui bahawa risiko jatuh meningkat dengan bertambahnya jumlah kumulatif faktor risiko jatuh.

Mempromosi Gaya Hidup sihat- Penuaan yang sihat

Warga emas digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka. Ini boleh dicapai dengan menerima pakai dan menyesuaikan gaya hidup sihat seperti diet sihat, tidak merokok, tidak mengambil alkohol atau pengambilan yang sederhana, mengekalkan berat badan yang ideal dan bersenam. Ini juga dapat mencegah mereka daripada mendapat penyakit kronik dan komplikasi yang secara langsung atau tidak langsung meletakkan mereka berisiko untuk jatuh.

Mengurangkan Faktor-faktor Risiko Jatuh

Persekitaran

Pengubahsuaian rumah – Hindar daripada bahaya di rumah dan pasang alat-alat bantuan/perlindungan

  • Buang kotak-kotak, suratkhabar lama, wayar elektrik dan telefon dari laluan jalan.

  • Pindahkan meja makan, rak majalah dan pasu-pasu dari kawasan laluan.

  • Lekatkan permaidani yang mudah gelincir dengan pelekat, atau lapikkan dengan alas yang tidak mudah gelincir. Pilihan lain adalah elak daripada meletak permaidani sama sekali.

  • Baiki lantai kayu yang longgar.

  • Simpan pakaian, pinggan mangkuk, makanan dan keperluan lain di tempat yang mudah dicapai.

  • Cuci segera tumpahan cecair, minyak atau makanan.

  • Gunakan lilin (wax) lantai yang tidak licin.

  • Gunakan tikar yang tidak licin agar tidak tergelincir dalam bilik air dan tab mandi.

  • Pasang alat pelindung tangga.

  • Bar pemegang (Railing / grab bars).

  • Pencahayaan yang baik.

Rekabentuk/kemudahan yang mesra warga emas di persekitaran awam. Contohnya seperti berikut:

  • Perlu adanya polisi, implementasi, pembangunan dan penguat kuasaan.

  • Bangunan dan jalan yang tiada halangan kepada warga emas (Barrier-free).

  • Pengangkutan awam yang mencukupi.

  • Kejiranan yang selamat.

  • Tempat letak kereta untuk warga tua yang dekat dengan bangunan dan pengangkutan.

  • Tempat untuk aktiviti fizikal dan senaman yang selamat dan mesra warga tua.

Ubat-ubatan

Warga tua cenderung untuk mengambil ubat lebih banyak daripada golongan muda. Tambahan pula, mereka lebih mudah mendapat kesan sampingan ubat kerana mekanisme penyerapan dan metabolisme ubat telah berubah. Oleh itu mereka perlu sentiasa:

  • Memastikan ubat-ubatan mereka disemak dan diubah suai oleh doktor.

  • Mengurangkan bilangan ubat-ubatan.

  • Dimudahkan rejim ubat-ubatan seboleh yang mungkin.

  • Perlu mendapat nasihat doktor untuk ubat-ubatan yang dibeli sendiri di farmasi.

Masalah Perubatan

Masalah perubatan boleh dikaitkan dengan risiko jatuh adalah perubahan yang berlaku disebabkan penuaan seperti pengurangan kapasiti fizikal, kognitif dan efektif, dan juga ko-morbiditi disebabkan penyakit kronik. Tujuan untuk merawat masalah perubatan adalah untuk menghilangkan atau meminimumkan ketidakupayaan. Iniseterusnya dapat mengurangkan risiko jatuh. Berikut adalah masalah perubatan yang perlu ditangani:

  • rentak denyutan jantung yang tidak normal dan tekanan darah rendah.

  • ubat-ubatan yang terlalu banyak, terutamanya yang boleh menyebabkan tekanan darah rendah.

  • masalah berjalan dan keseimbangan.

  • masalah lemah otot dan pergerakan.

  • kekurangan vitamin D dan kalsium.

  • masalah penglihatan, terutama sekali masalah katarak (selaput mata).

  • penjagaan kaki dan kasut atau alas kaki yang tidak sesuai.

Faktor Pemakanan

Perubahan deria rasa dan struktur organ penghadaman akibat penuaan boleh mempengaruhi pengambilan makanan dan status kesihatan warga emas. Kehilangan deria bau dan rasa, kurang penglihatan boleh mempengaruhi selera makan, kehilangan gigi boleh memberi kesan kepada kebolehan mengunyah makanan dan fungsi usus yang berkurang boleh memberi kesan dalam penghadaman zat makanan.

Untuk meningkatkan selera, warga emas boleh mencuba kepelbagaian rasa dan tekstur makanan yang baru; meningkatkan tahap penglihatan mereka melalui cara yang sesuai. Mereka perlu mendapatkan gigi palsu yang sesuai untuk meningkatkan kebolehan mereka mengunyah makanan. Selain itu, makanan boleh dipotong, stim, rebus atau kisar untuk menangani masalah makanan yang keras. Ini memudahkan mereka mengunyah tanpa perlu mengorbankan nilai nutrisi makanan.

Kurang senaman

Senaman dan aktiviti fizikal yang diamalkan sentiasa dapat meningkatkan kesihatan tulang, otot dan sendi. Ia dapat meningkatkan masah tindakbalas, mobiliti dan keseimbangan dan seterusnya mengurangkan risiko jatuh dan kecederaan. Ia juga dapat mencegah dan melambatkan permulaan penyakit dan ketidakupayaan yang boleh menyumbang kepada risiko untuk jatuh.

Add Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *